AKSI Rachel hari ini. FOTO Reuters
AKSI Rachel hari ini. FOTO Reuters
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Atlet gimnastik artistik negara, Rachel Yeoh merangkul emas kedua yang diluar jangkaan menerusi acara batang titian di Sukan Sea Hanoi, hari ini.

Persembahan cemerlang Rachel pada aksi final itu menyaksikannya meraih markah 12.567 mata daripada juri di Gimnasium Quan Ngua sekali gus sudah cukup untuk memastikannya meraih pingat emas dalam disiplin itu.

Gimnas Filipina, Aleah Finnegan menduduki tempat kedua dengan 12.367 mata manakala pemain Vietnam Pham Nhu Phuong (12.167 mata) untuk podium ketiga.

Rachel, yang memenangi emas dalam acara palang tidak sejajar Ahad lalu, mengakui dia hanya menjangkakan penamat tiga teratas dalam acara itu.

"Untuk acara ini, saya hanya fokus pada teknik dan cuba melakukan apa yang sudah di praktikkan dalam latihan.

"Persaingan sangat sengit dan akhirnya saya berjaya melakukannya.

"Untuk memenangi dua emas dan satu gangsa di sini adalah pencapaian yang baik bagi saya. Segala kerja keras saya selama ini berbaloi.

"Saya akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi diri saya. Saya mahu beraksi cemerlang di Sukan Komanwel Birmingham tahun ini dan juga Sukan Sea Kemboja (tahun depan)," katanya.

Jurulatih kebangsaan, Ng Shu Wai turut berbangga melihat atletnya muncul juara dalam acara itu walaupun ia bukan disiplin yang digemarinya.

Rachel mempertimbangkan untuk bersara kerana masalah kecederaan yang berulang pada 2017 tetapi dipujuk untuk terus mewakili skuad kebangsaan oleh Shu Wai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 6:09 PM