AKSI Alcaraz di Terbuka Madrid minggu lalu. FOTO AFP
AKSI Alcaraz di Terbuka Madrid minggu lalu. FOTO AFP
Reuters

Rom: Bintang tenis, Rafael Nadal berkata peningkatan yang dipamerkan Carlos Alcaraz adalah baik untuk sukan itu tetapi orang ramai mesti berhenti membandingkan dirinya dengan rakan senegaranya dari Sepanyol itu.

Jelas Nadal, ia bagi membolehkan Alcaraz yang masih muda menikmati kerjayanya tanpa tekanan untuk memenuhi jangkaan tinggi peminat.

Alcaraz, 19, bakal muncul sebagai pencabar utama saingan Grand Slam selepas dia menewaskan idolanya, Nadal dan Novak Djokovic ketika merangkul gelaran di Madrid minggu lalu, gelaran Masters keduanya selepas memenangi Terbuka Miami, Mac lalu.

"Satu-satunya yang kita boleh lakukan ialah meraikan perjalanan karier pemain hebat seperti Carlos. Walaupun ia menarik, berhenti membandingkannya dengan saya.

"Jika dia mampu memenangi 25 Grand Slam, ia akan menjadi sesuatu yang menakjubkan untuknya dan untuk Sepanyol.

"Sudah pasti saya akan gembira untuknya. Tetapi biarkan dia menikmati kerjayanya.

"Jangan beri tekanan atau menambah tekanan kepadanya. Jangan tanya saya lagi, saya pasti sangat gembira melihat pemain hebat sepertinya di Sepanyol," katanya.

Nadal, pemenang 21 gelaran Grand Slam, tidak mahu menambah tekanan menjelang Terbuka Perancis hujung bulan ini.

"Saya sangat gembira dengan cara menguruskan kerjaya tenis saya. Inilah masanya untuk menguruskan kerjayanya mengikut cara yang dia mahukan," kata Nadal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 10:11 AM