AZIZULHASNI menjalani pembedahan jantung pada 21 April lalu. FOTO ihsan Azizulhasni Awang
AZIZULHASNI menjalani pembedahan jantung pada 21 April lalu. FOTO ihsan Azizulhasni Awang
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Azizulhasni Awang memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk pulih sebelum menjalani latihan seperti biasa.

Perkembangan positif itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli apabila pihaknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) menubuhkan pasukan perubatan bagi memantau perkembangan terkini kesihatan pelumba negara itu.

Beliua berkata, antara elemen penting dalam program pemulihan adalah kesediaan latihan, pemulihan jantung (cardiac rehabilitation), pemakanan pemulihan, sokongan keluarga, perubahan corak latihan selepas pembedahan dan koordinasi program pemulihan antara pakar jantung, pegawai suaian fizikal serta jurulatih.

"Saya percaya Azizul memerlukan sokongan dan untuk itulah satu pasukan petugas khas perubatan ISN dan MSN ditugaskan untuk memantau dalam tempoh tiga bulan," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan pelumba digelar 'The Pocket Rocketman' itu disahkan mengalami masalah jantung hingga hampir menamatkan kariernya sebagai pelumba basikal negara, baru-baru ini.

Malah, kehilangan Azizul yang secara tiba-tiba senyap sejak awal Februari lalu akhirnya terjawab apabila sebenarnya dia bergelut dengan rawatan penyakit jantung itu sebelum melakukan pembedahan pada 21 April lalu.

Sementara itu, Azizul berkata, jika proses rawatan dan pemulihan berjalan lancar tanpa sebarang masalah, impian untuk mengecapi emas di Sukan Olimpik Paris 2024 masih relevan.

"Saya berusaha mahu terus pastikan pemulihan seperti biasa untuk menjalani latihan semula.

"Jika tiada masalah, matlamat untuk emas di Olimpik Paris 2024 masih lagi relevan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 2:51 PM