Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif untuk penggal 2021-2025 di Wisma OCM hari ini. FOTO Bernama
Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif untuk penggal 2021-2025 di Wisma OCM hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Disebabkan kebimbangan akibat serangan varian baharu Covid-19 Omicron, Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan gelembung sukan bagi melindungi kontinjen negara sebelum berlepas ke temasya Sukan Sea Vietnam, Mei depan.

Menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, selain prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan, pihaknya turut berharap ujian doping turut dapat dilakukan sekali.

"Mengenai protokol SOP menjelang Sukan Sea nanti, kita berharap kita tidak mewujudkan apa-apa kluster sebab kontinjen kita ramai akan berlepas ke Hanoi nanti," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM Kali Keempat Sesi 2021/25.

Ketika ini, lebih daripada 700 atlet dan pegawai akan mengikuti SOP berkenaan di mana mereka akan diasingkan dalam tempoh dua minggu sebelum dibenarkan menyertai temasya dwitahunan itu yang bermula dari 12 hingga 23 Mei.

"Selain SOP Covid-19, kita juga perlu memikirkan soal ujian doping kepada atlet-atlet kita terutama membabitkan sukan tertentu," katanya.

Dalam pada itu, Norza turut menegaskan jumlah atlet negara yang akan ke Sukan Sea turut bertambah memandangkan beberapa persatuan dijangkakan menyerahkan senarai akhir sebelum 12 Mac ini.

"Ketika ini, seramai 584 atlet daripada 37 sukan yang sudah menghantar senarai nama bagi mewakili negara ke temasya sukan edisi ke-31 itu dan jumlahnya akan bertambah.

"Bagi sukan olahraga dan renang, kedua-duanya baru sahaja tamat menganjurkan Kejohanan Terbuka Malaysia pada Ahad lalu jadi kami masih menunggu senarai nama terkini yang akan diberikan dalam masa terdekat," katanya.

Dalam perkembangan sama, MOM turut melantik dua Timbalan Ketua Kontinjen Sukan Sea iaitu Presiden Persekutuan Snooker Malaysia, Melvin Chia dan Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia, Afriati Ariani Nasril bagi membantu pengurusan pada temasya itu nanti.

"Kita melantik mereka bagi membantu Ketua Kontinjen, Datuk Nur Azmi Ahmad. MOM menugaskan mereka untuk memastikan hal keselamatan dan kesihatan skuad negara sentiasa dalam keadaan baik memandangkan situasi Covid-19 di Vietnam mungkin meningkat." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 5:18 PM