EGAN Bernal bergambar bersama pasukan perubatan. FOTO Reuters
EGAN Bernal bergambar bersama pasukan perubatan. FOTO Reuters
AFP

Bogota: Bekas juara Tour de France, Egan Bernal yang berkata dia 'hampir maut' selepas merempuh bas semasa sesi latihan, dibenarkan keluar dari hospital semalam, dua minggu selepas kemalangan ngeri itu.

Atlet berusia 25 tahun itu patah 11 tulang rusuk, tempurung lutut, tulang peha, dua tulang belakang dan ibu jari selepas terbabit dengan kemalangan 24 Januari lalu ketika berbasikal bersama rakan sepasukan Ineos Grenadiers dekat Bogota.

Dia terpaksa menjalani lima kali pembedahan.

"Bagi saya, ia seperti kelahiran semula," kata Bernal menerusi video yang dihantar kepada media selepas keluar dari Klinik Universiti La Sabana di pinggir Bogota.

Gambar yang disiarkan pihak klinik menunjukkan Bernal memakai pelindung leher dan diapit oleh dua kakitangan perubatan yang menerima ucapan terima kasih daripadanya kerana memberi 'peluang kedua' untuk meneruskan kehidupan.

"Pada satu ketika saya sedang bersiap untuk Tour de France dan memberikan segala-segalanya semasa sesi latihan dan tiba-tiba saya bertarung untuk hidup.

"Saya hampir maut tetapi bersyukur Tuhan memberikan ujian ini kepada saya," katanya.

Sementara itu, pihak Klinik menambah: "Dia kini boleh meneruskan proses pemulihannya."

Seorang pelumba pakar pendakian, Bernal adalah atlet berstatus bintang di Ineos dan pada usia 22 tahun dia sudah memenangi Tour de France in 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 11:03 AM