ANIQ (tengah) ketika meraih pingat di Kejohanan Kelayakan Komanwel baru-baru ini. FOTO PABM
ANIQ (tengah) ketika meraih pingat di Kejohanan Kelayakan Komanwel baru-baru ini. FOTO PABM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejayaan membentuk Mohamad Aniq Kasdan melakar sejarah merangkul pingat di Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 di Uzbekistan tidak memberi sebarang makna apabila jurulatihnya Naharuddin Mahayudin hingga kini masih belum ditawarkan sebarang kontrak lanjutan daripada Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) ataupun Majlis Sukan Negara (MSN).

Ia sekali gus meletakkan jurulatih yang juga bekas atlet kebangsaan itu digantung tidak bertali dan beliau perlu membuat keputusan mengenai masa depannya sama ada perlu kembali melatih atlet di peringkat negeri atau tidak.

Begitupun Naharuddin menerima situasi berkenaan tanpa ada sebarang pertikaian kerana berasakan bahawa PABM mempunyai perancangan yang lebih baik demi kemajuan sukan itu di negara ini.

"Secara jujurnya hingga kini saya masih belum ada terima sebarang kontrak dan PABM pun tak memaklumkan kepada saya sama ada kontrak saya dilanjutkan atau tidak.

"Saya pasti jika mereka mahukan khidmat saya pasti kontrak sudah diberikan tapi sampai sekarang saya masih belum ada sebarang kata hitam putih.

"Bagi saya, apa saja keputusan PABM buat, saya tak ada masalah. Saya tahu ia demi kemajuan angkat berat itu sendiri. Saya harap dengan apa yang ada hari ini, PABM akan terus ke depan.

"Cuma saya agak kecewa kerana tidak diberikan masa yang cukup untuk saya buktikan kemampuan sebenar saya kerana saya juga ada sasaran saya ketika saya mengambil tugas sebagai jurulatih kebangsaan ini," katanya yang hanya 11 bulan bersama skuad kebangsaan.

Naharuddin dilantik menjadi jurulatih kebangsaan pada Februari tahun lalu selepas jurulatih dari China, Wang Zhi Quan tidak disambung kontraknya.

Berpengalaman luas dalam sukan itu, nama Naharuddin tidak asing lagi apabila turut pernah meraih pingat di temasya Komanwel India 2010, Sukan Sea Thailand 2007 selain pingat di Kejohanan Tahunan Angkat Berat Komanwel dan Sukan Asia.

Kekangan kerana pandemik Covid-19, menyaksikan perancangan Naharuddin banyak terganggu berikutan pembatalan kejohanan.

Namun beliau berjaya membentuk Aniq sehingga berjaya memenangi pingat emas pada Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel 2022 dan pingat perak bagi kategori clean and jerk dalam saingan Kejohanan Dunia tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 7:45 PM