Shahrul Zaman (kiri) memberi dorongan kepada Muhamad Shah. FOTO Bernama
Shahrul Zaman (kiri) memberi dorongan kepada Muhamad Shah. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan Komanwel 2022 Datuk Shahrul Zaman Yahya hari ini turun padang melawat Institut Sukan Negara (ISN) untuk melihat kemudahan disediakan kepada atlet yang akan beraksi di Birmingham nanti.

Beliau turut berkongsi rasa teruja dengan kemudahan disediakan untuk atlet, selain memuji kemudahan ISN yang bertaraf dunia dan pegawai serta kakitangan sentiasa komited bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik.

Dalam lawatannya itu, Shahrul Zaman berkesempatan bertemu dengan jaguh berbasikal trek Muhamad Shah Firdaus Sahrom dan rakan-rakan seperjuangannya yang sedang melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Beliau (Muhamad Shah Firdaus) berada dalam keadaan yang baik serta tidak sabar untuk kembali berjuang untuk negara. Saya telah meminta beliau untuk terus gigih berlatih serta sentiasa menjaga diri supaya terhindar daripada pandemik Covid-19 yang masih melanda negara," katanya menerusi kenyataan.

Sukan Komanwel 2022 dijadual berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

Shahrul Zaman yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia turut melawat Pejabat Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 10:03 PM