TERENGGANU Turtles mungkin hanya menggunakan pelibas tempatan dalam saingan STL musim ini.
TERENGGANU Turtles mungkin hanya menggunakan pelibas tempatan dalam saingan STL musim ini.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Hasrat Terengganu Turtles untuk menggunakan khidmat 'killer' import, Sarayuk Suksen bagi mengharungi kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) tampak 'kelam'.

Hakikat itu diakui Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang memaklumkan pasukannya mungkin terpaksa berpuas hati dengan khidmat pemain tempatan selepas usaha membawa masuk perejam berusia 21 tahun dari Thailand itu masih menemui jalan buntu sedangkan STL Divisyen Satu bakal membuka tirainya awal Februari ini.

Menurut beliau, mengikut perancangan awal, Sarayuk dijangka dapat menyertai latihan bersama rakan sepasukan pada pertengahan Januari, namun tidak dapat direalisasikan disebabkan beberapa faktor.

"Antaranya saya difahamkan di Thailand mereka ada satu kejohanan besar yang melibatkan pemilihan tonggak kebangsaan, jadi ramai pemain berbakat dan nama besar tertumpu di sana.

"Nasib ini bukan sahaja menimpa Terengganu Turtles, malah saya difahamkan pasukan Liga Premier juga sudah meneruskan kejohanan awal bulan ini tanpa pemain import disebabkan masalah sama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun menurut Tengku Zaihan, pihak persatuan masih memantau perkembangan semasa dan menunggu keputusan daripada pihak berkaitan di Thailand.

Biarpun tanpa kelibat pemain import, Terengganu Turtles yang dibimbing bekas perejam kebangsaan Mohd Futra Abd Ghani yakin mampu mencapai sasarannya untuk muncul juara Divisyen Satu musim ini sekali gus beraksi di Liga Premier pada musim 2023.

"Kita sebenarnya tidak pernah ketandusan pelapis berbakat dalam apa jua sukan termasuk sepak takraw.

"Kita juga sudah ada calon pemain tempatan untuk posisi apit kiri sekiranya beliau (Sarayuk) tak sempat datang, dan dia juga tak kurang hebat dan berbakat besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 2:43 PM