DARWISH membuka gerai menjual kopi di Alam Budiman, Selangor.
DARWISH membuka gerai menjual kopi di Alam Budiman, Selangor.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Dia tidak kisah melakukan apa saja kerja, asalkan mampu untuk mencari sumber kewangan bagi menampung penyertaannya ke Kejohanan BMX Dunia di Perancis, Julai ini.

Atas sebab itu, Darwish Putra Muhd Sanusi berusaha keras dengan membuka gerai menjual kopi di Alam Budiman, Selangor.

Ia adalah inisiatif sendiri pelajar berusia 17 tahun itu dalam usaha mendapatkan dana kerana segala-galanya perlu bermula dari sekarang sekiranya ingin melakar sejarah menjadi pelumba BMX pertama negara layak ke temasya Olimpik 2028 di Los Angeles.

Berdasar pencapaian yang diraihnya iaitu muncul juara Cabaran Antarabangsa BMX C1 di Jakarta, perlumbaan pertama dan naib juara perlumbaan kedua, mengungguli Kejohanan BMX Remaja Sportsexcel, bergelar juara kebangsaan sebanyak tiga kali sejak berusia 13 tahun, Darwish dilihat mempunyai potensi cerah mengembangkan bakatnya di peringkat antarabangsa.

Bagi ayahnya yang juga jurulatih peribadi Darwish, Muhd Sanusi Kamarul Azhar berkata, Malaysia mempunyai ramai bakat dalam sukan BMX namun kerana ia tidak cukup popular seperti acara trek dan lebuh raya menyukarkan segala pergerakan pembangunan sukan itu.

Sanusi memerlukan dana sekurang-kurangnya RM60,000 untuk menyertai tiga kejohanan utama yang menawarkan mata kelayakan iaitu Kejohanan Chainat BMX di Bangkok dari 12 dan 13 Februari diikuti Kejohanan BMX di Indonesia (Mei) dan Korea Selatan (Jun) sebelum ke Kejohanan Dunia di Perancis dari 27 hingga 31 Julai ini.

"Saya perlukan sokongan daripada semua pihak khasnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam membangunkan sukan BMX ke peringkat antarabangsa.

"Saya tahu sukar untuk mendapatkan dana kerana kekangan kewangan ketika ini. Tapi jika kita tak mulakan dari sekarang bila lagi.

"Darwish tak kisah mengeluarkan modal sendiri untuk menjual kopi sejak September tahun lalu kerana dia mahu buktikan dia layak ke Kejohanan Dunia," katanya.

Sejak awal karier Darwish, Sanusi mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menghantar anaknya menyertai kejohanan luar kerana yakin anaknya itu mampu untuk menjadi perintis dalam sukan itu.

"Kita ada ramai pelumba berbakat. Sedang Thailand dan Indonesia pun sudah layak ke Olimpik dalam acara BMX, kita bila lagi.

"Saya akan berusaha segala yang termampu untuk buktikan kemampuan anak saya. Saya tahu dia boleh lakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:01 AM