REAKSI  Rublev selepas menewaskan Mager.
REAKSI Rublev selepas menewaskan Mager.
AFP

Melbourne: Pemain nombor enam dunia dari Rusia, Andrey Rublev mengetepikan kebimbangan ancaman Covid-19 dengan mara ke pusingan kedua Terbuka Australia hari ini.

Rublev yang tampil kali pertama tahun ini mudah menewaskan pemain Itali, Gianluca Mager 6-3, 6-2, 6-2 dalam masa 1 jam 24 minit di Margaret Court Arena.

Dia yang menarik diri daripada pasukan Rusia di Piala ATP bulan lalu selepas didapati positif virus terbabit mendominasi sepenuhnya perlawanan.

Rublev mematahkan servis Mager tujuh kali dengan hanya melakukan 13 kesilapan.

"Saya agak letih sebelum aksi pertama kesan positif Covid tetapi kini semuanya pulih," kata Rublev.

"Saya tak tahu bagaimana mahu beraksi perlawanan pertama. Ia tidak mudah beraksi di kejohanan besar tanpa bermain dalam tempoh beberapa minggu. Tetapi saya gembira permainan saya tak terjejas hari ini."

Dalam kategori wanita, pemain nombor tiga dunia dari Sepanyol, Garbine Muguruza yang memburu gelaran Grand Slam ketiga turut mara ke pusingan kedua selepas mengatasi cabaran pemain ranking ke-77 dari Perancis, Clara Burel 6-3, 6-4.

Dia akan menentang pemain veteran Perancis, Alize Cornet yang menewaskan Viktoriya Tomova 6-3, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 12:26 PM