NOVAK Djokovic. FOTO EPA
NOVAK Djokovic. FOTO EPA
Agensi

Sydney: Pemain tenis Serbia, Dusan Lajovic berkata dia tidak pasti sama ada rakan senegara, Novak Djokovic akan beraksi di Terbuka Australia dan juga tidak tahu mengapa Djokovic menarik diri daripada saingan Piala ATP.

Djokovic berpeluang meraih rekod memenangi 21 gelaran Grand Slam dan 10 kejuaraan Terbuka Australia di Melbourne Park bermula 17 Januari ini.

Bintang berusia 34 tahun itu berada dalam senarai untuk beraksi tetapi masih belum mengesahkan penyertaaannya di Terbuka Australia susulan prosedur vaksinasi Covid-19 yang dipersetujui antara Tennis Australia dan Jabatan Kesihatan Victoria.

Djokovic enggan mendedahkan sama ada dia sudah divaksin. Kesemua penonton, kakitangan dan pemain di Terbuka Australia perlu melengkapkan dua suntikan vaksin.

"Dia sering berhubung dengan kami semua. Mengenai Terbuka Australia, masih belum pasti. Saya tidak mendapat apa-apa maklumat.

"Saya rasa dia akan hadir dalam tempoh beberapa hari lagi. Sekarang kami tidak tahu lagi tetapi harapnya dia dapat berada di sini dan beraksi di Grand Slam," kata Lajovic.

Jelasnya lagi, Djokovic tidak mendedahkan mengapa dia menarik diri daripada saingan Piala ATP.

"Dia beritahu tak sertai Piala ATP. Sama-sama kita nantikan di Terbuka Australia pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 12:06 PM