Denis Shapovalov. FOTO Agensi
Denis Shapovalov. FOTO Agensi
AFP

Sydney: Pemain nombor 14 dunia, Denis Shapovalov disahkan positif Covid-19 sejurus tiba di Sydney sekali gus menjejaskan persediaan ke Terbuka Australia.

Pemain berusia 22 tahun itu adalah antara pemain pertama yang memasuki Australia menjelang acara berpasukan Piala ATP bermula 1 Januari ini, di mana dia sepatutnya beraksi untuk Kanada, dan diikuti acara Grand Slam pertama yang bakal berlangsung dalam tempoh tiga minggu lagi.

Katanya di Twitter dia mengalami simptom ringan dan menjalani pengasingan. Dia antara pemain terbaru yang bertanding di aksi pertunjukan Abu Dhabi bulan ini dijangkiti Covid-19.

"Hi semua, saya hanya mahu memberikan perkembangan terbaru selepas tiba di Sydney, saya disahkan positif Covid-19," kata Shapovalov.

"Saya mengikuti semua protokol yang diarahkan, termasuk menjalani pengasingan dan bertindak memberitahu kepada semua individu yang berkaitan.

"Ketika ini saya mengalami simptom ringan dan tidak sabar untuk kembali ke gelanggang apabila keadaan selamat melakukannya nanti."

Shapovalov berdepan Rafael Nadal di Abu Dhabi, dengan bintang Sepanyol itu turut diuji positif Covid-19 sekali gus merencatkan hasratnya untuk beraksi di Terbuka Australia.

Juara Olimpik, Belinda Bencic dan Ons Jabeur dari Tunisia turut disahkan positif Covid-19 selepas beraksi di Abu Dhabi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 1:12 PM