EMMA terpaksa menjalani kuarantin di UAE selepas positif Covid-19. FOTO EPA
EMMA terpaksa menjalani kuarantin di UAE selepas positif Covid-19. FOTO EPA
AFP

Abu Dhabi: Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu menarik diri daripada menyertai Kejohanan Tenis Dunia Mubadala minggu ini di Abu Dhabi selepas positif Covid-19.

Menurut penganjur, pemain Britain berusia 19 tahun itu sepatutnya berdepan dengan juara Olimpik, Belinda Bencic Khamis ini dalam kejohanan pertunjukan.

Emma sudah tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagaimanapun dia sekarang ini perlu melengkapkan tempoh kuarantin.

Dia tidak mengalami sebarang simptom dan pemain nombor 19 dunia itu sepatutnya mampu untuk menuju ke Australia menjelang saingan pertama Grand Slam tahun depan.

"Saya memang tidak sabar untuk beraksi di depan peminat di Abu Dhabi namun malangnya, selepas disahkan positif Covid-19, saya perlu menangguhkan dulu hajat sehingga mendapat peluang seperti ini lagi pada masa akan datang.

"Saya menjalani kuarantin seperti yang ditetapkan dan berharap akan kembali semula tidak lama lagi," katanya,

Emma, yang menjadi pemain pertama dari peringkat kelayakan memenangi saingan Grand Slam seleas menumpaskan Leylah Fernandez di perlawanan akhir Terbuka AS, sudah memulakan misi bersama jurulatih baru, Torban Beltz untuk aksi penuh semusim pertamanya di Jelajah WTA.

Dia juga masih berada dalam kuarantin menjelang Anugerah Personalti Sukan BBC Ahad ini, di mana dia akan dicabar Tom Daley, Tyson Fury, Adam Peaty, Raheem Sterling dan Sarah Storey untuk undian secara terbuka bagi Anugerah Ahli Sukan Ternama Britain 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 10:53 AM