WAN Abdul (kiri) melintasi garisan penamat di tempat ketiga. FOTO Agensi
WAN Abdul (kiri) melintasi garisan penamat di tempat ketiga. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selepas mengharungi detik mengecewakan semalam, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Wan Abdul Rahman Hamdan tampil lebih menyakinkan apabila berjaya meraih tempat ketiga pada perlumbaan hari kelima Jelajah Thailand, hari ini.

Walaupun terbabit dengan kemalangan pada 500 meter sebelum ke garisan penamat pada perlumbaan terdahulu, Wan Abdul Rahman masih mampu memberi cabaran pada hari ini sejauh 160.3 kilometer (km) bermula dari Trang ke Satun.

Pelumba terbabit berjaya meraih tempat ketiga menerusi catatan masa 3 jam 27 minit 51 saat di belakang Lucas Carstensen dari Bike Aid di tempat pertama manakala Ryan Jastrab (Wildlife Generation Pro Cycling) di kedudukan kedua.

Sementara itu, pelumba dari Thailand Continental Cycling Team Sarawut Sirironnachai masih kekal sebagai pelumba terbaik Asean manakala Jersi Kuning pula milik Carstensen yang turut dinobatkan sebagai raja pecut.

Terdahulu, dua pelumba TSG Wan Abdul Rahman n dan Irwandie Lakasek kempunan untuk meraih podium pada perlumbaan hari keempat Jelajah Thailand selepas terbabit kemalangan 500 meter sebelum tiba garisan penamat.

Kemalangan itu, menyebabkan Irwandie terpaksa mendapatkan rawatan susulan di hospital sebelum dibenarkan untuk menyertai perlumbaan pada hari ini.

Pada perlumbaan hari ini, Irwandie menamatkan kayuhan di kedudukan keenam manakala seorang lagi rakan sepasukan, Jambaljamts Sainbayar yang berjaya meraih tempat kedua semalam, namun hari ini melintasi garis penamat di kedudukan ke-14.

Saingan peringkat keenam berlangsung esok menawarkan laluan sejauh 162.3km akan bermula dari Satun ke Hat Yai Park dengan pelumba akan diuji dengan laluan berbukit ketika menghampiri lokasi penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 6:36 PM