Kuala Lumpur: Hanya selangkah lagi buat skuad lelaki dan wanita negara merangkul gelaran berganda di Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia apabila berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir.
Kejohanan yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil menyaksikan kedua-dua pasukan negara itu diundi bertemu dengan Jepun yang menyaksikan skuad lelaki melakarkan kemenangan 2-0 dan wanita menang 2-1.
Bagi pemain nombor satu lelaki negara, Ng Eain Yow, skuad lelaki negara kali ini adalah yang terbaik dan mereka mula bersama sebagai rakan pasukan sejak 2016.
Kombinasi itu membakar semangat untuk terus berjuang yang mana sasaran mara ke peringkat final akhirnya berjaya direalisasikan dan kini hanya tinggal selangkah lagi untuk bergelar juara buat kali pertama selepas enam tahun.
"Tak kisahlah kami akan bertemu dengan pasukan sama ada India atau Hong Kong, apa yang penting adalah cuba menghabiskan perlawanan lebih awal.
"Saya percaya kepada rakan pasukan. Biarpun tekanan itu nanti di bahu saya tapi saya akan cuba untuk menang lebih awal," katanya yang menyifatkan cabaran India lebih getir selepas negara itu menewaskan Pakistan dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Pada perlawanan separuh akhir itu, Eain Yow yang kini menghuni ranking ke-18 dunia menewaskan Ryosei Kobayashi 11-4,11-2,11-1 manakala Ivan Yuen mudah menundukkan Tomotaka Endo 11-3,11-9-11-7.
Sementara itu skuad wanita mara ke final selepas menewaskan Jepun 2-1.
Rachel Arnold yang turun selaku perseorangan pertama tewas kepada Satomi Watanabe 5-11,2-11,4-11.
Namun Aifa Azman berjaya menyamakan kedudukan satu sama selepas menang ke atas Risa Sugimoto 11-4,11-4,11-5 dan pemain Ainaa Amani memastikan kemenangan negara apabila menundukkan Rafu Takahashi 11-3,11-2-,11-5.
Menanti skuad wanita di pentas akhir adalah Hong Kong yang juga pilihan pertama kejohanan selepas menewaskan pasukan India 2-1