DJOKOVIC (kanan) meraikan kejayaan dalam aksi beregu bersama Cacic untuk membantu Serbia mara ke separuh akhir Piala Davis. FOTO EPA
DJOKOVIC (kanan) meraikan kejayaan dalam aksi beregu bersama Cacic untuk membantu Serbia mara ke separuh akhir Piala Davis. FOTO EPA
AFP

Madrid: Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic mempamerkan semangat luar biasa dalam dua perlawanan untuk membantu Serbia mara ke separuh akhir Piala Davis buat kali kelima apabila menumbangkan Kazakhstan.

Serbia, yang juga juara 2010, akan berdepan negara jiran, Croatia bagi mencari slot ke perlawanan akhir.

Djokovic tidak berdepan masalah untuk mengekalkan rekod tidak pernah kalah selama 10 tahun dalam saingan perseorangan Piala Davis apabila menumpaskan pemain ranking ke-36, Alexander Bublik 6-3, 6-4, dalam tempoh 77 minit bagai menyamakan kedudukan suku akhir ketika itu 1-1.

Pemain berusia 34 tahun itu bergandingan pula bersama Nikola Cacic untuk mengetepikan Andrey Golubev-Aleksandr Nedovyesov 6-2, 2-6, 6-3 dalam aksi penentuan beregu.

"Saya bangga dengan semangat melawan yang kami pamerkan. Kami kalah di set kedua, tapi berjaya untuk bangkit kembali, tenang dan meraih kemenangan," kata Djokovic.

Djokovic tidak pernah menang dalam aksi beregu Piala Davis sejak 2015 dan turun ke saingan itu selepas kalah tiga kali berturut-turut sebelum ini termasuk di tangan Golubev dan Nedovyesov pada 2016.

Dalam aksi awal, Mikhail Kukushkin berjaya menyekat Miomir Kecmanovic untuk meraih mata kemenangan sebanyak empat kali bagi membolehkan Kazakhstan meraih kemenangan pembukaan.

Kukushkin, pemain nombor 182 dunia berjaya menumpaskan Kecmanovic 7-6 (7/5), 4-6, 7-6 (13/11) selepas beraksi lebih daripada tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 3:30 PM