IRWANDIE Lakasek. FOTO TSG
IRWANDIE Lakasek. FOTO TSG
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Irwandie Lakasek berjaya meraih kedudukan podium apabila menamatkan saingan di tempat kedua peringkat pertama perlumbaan Jelajah Thailand, hari ini.

Saingan peringkat pertama saingan sejauh 145 kilometer (km) dari Hat Yai Park ke Phattalung itu menyajikan laluan beralun selain turut disulami dengan hujan di beberapa laluan menyaksikan Lucas Carstensen dari pasukan Jerman, Bike Aid yang terlebih dahulu melepasi garisan penamat selaku juara.

Carstensen mencatatkan masa 3 jam 04:08 saat (s) yang menyaksikan penamat beramai-ramai di garisan penamat manakala Sanikwathi Thanawut dari pasukan Thailand Continental Cycling Team ketiga.

Selain Irwandie turut mendapatkan perhatian adalah pelumba Sapura Cycling Team (TSC) Muhammad Nur Aiman Rosli dipilih sebagai penerima gelaran Combative Rider - gelaran yang diberikan kepada pelumba pilihan peringkat pertama.

Selepas hampir lapan bulan tidak menyertai sebarang perlumbaan, Aiman nyata teruja dengan anugerah berkenaan dan menjadi pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan dalam Jelajah Thailand yang berbaki lima peringkat.

"Alhamdulillah. Saya teruja dengan gelaran hari ini. Ini kali kedua saya menyertai Jelajah Thailand, jika dulu saya hampa sekarang saya cuba yang terbaik untuk pasukan.

"Begitupun laluan tadi agak mencabar. Sebab hujan dan panas. Ada kawasan yang banjir, air bertakung dan berlubang. Tapi terus berusaha untuk buat yang terbaik," katanya yang meraih 10 mata di tiga zon pecutan.

Peringkat kedua esok akan bermula dari Phatthalung ke Talay Noi kembali ke Phatthalung membabitkan laluan sejauh 228 km yang dilihat menyajikan peluang seimbang buat pelumba namun dijangka akan dikuasai pakar pecut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 11:00 PM