Pemain Skuasy negara, Aifa Azman beraksi cemerlang di final Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia. FOTO Bernama
Pemain Skuasy negara, Aifa Azman beraksi cemerlang di final Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Status wilcard tidak menghalang pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman untuk muncul juara Terbuka Malaysia selepas berjaya mengalahkan pilihan utama kejohanan dan juga pemain ranking kelapan dunia, Salma Hany di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pada perlawanan akhir itu Aifa tampil cemerlang apabila menang mudah mencatat kemenangan 3-0 meskipun diberi tentangan sengit oleh pemain dari Mesir itu.

Walaupun bermula agak perlahan pada set pertama selepas melakukan beberapa kesilapan mudah sehingga ketinggalan 4-9, namun pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu berjaya melakukan kebangkitan dan menyamakan kedudukan 9-9.

Salma yang tersentak dengan kebangkitan dilakukan Aifa cuba memperkemaskan permainan, bagaimanapun tindakan itu seolah-olah tidak menjadi sebelum dia akur dengan kekalahan 10-12.

Bersambung set kedua, permainan dilihat lebih seimbang apabila Salma tampil lebih agresif tetapi Aifa nyata lebih bersedia apabila terus menampilkan aksi cemerlang dan mencatat kemenangan 11-8.

Pada set ketiga, pemain berusia 19 tahun itu menguasai sepenuhnya permainan dan jauh meninggalkan Salma 10-2 sebelum dia memastikan kejuaraan menjadi miliknya apabila menang 11-4.

"Saya rasa luar biasa di atas kemenangan ini terutama selepas status saya selaku pemain wildcard. Sudah satu tahun tidak ada kejohanan dan kali ini saya gembira bukan saja muncul juara tapi berjaya menumpaskan pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

"Saya akan berlatih dengan lebih keras lagi untuk meraih lebih banyak kejayaan dan meraih pengalaman. Saya mahu untuk melonjakkan diri saya terutama dalam memperbaiki ranking dunia," katanya.

Aifa muncul pemain wanita Malaysia keempat berturut-turut memenangi kejohanan itu selepas Rachel Arnold, S Sivasangari serta pemain nombor satu negara, Low Wee Wern.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 7:33 PM