Aksi Aifa Azman (kanan) dalam satu kejohanan.
Aksi Aifa Azman (kanan) dalam satu kejohanan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman mengakui tidak sabar untuk beraksi di laman sendiri pada Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil bermula dari 23 hingga 27 November ini.

Menawarkan hadiah bernilai AS$50,000 kejohanan berkenaan mengumpul barisan pemain ternama dunia itu dijangka mampu menyuntik semangatnya.

Mengakui teruja untuk beraksi, Aifa berkata, prestasinya kini berada di tahap terbaik selepas tewas final SRAM PSA 7 kepada rakan senegara, Rachel Arnold, awal bulan ini.

"Saya tidak sabar untuk beraksi di Malaysia dan ini adalah kejohanan pertama saya di Malaysia yang menawarkan hadiah AS$50,000.

"Saya optimis untuk belajar sesuatu dan amat menantikan peluang dan pengalaman baru," katanya.

Bagaimanapun lawannya pada pusingan pertama tidak mudah apabila diundi bertemu Mayar Hany dari Mesir dan kemenangan bakal menyaksikan dirinya bertemu pilihan ketiga, Yathreb Adel.

Terdahulu atlet berasal dari Kedah itu berjaya memenangi 10 daripada 11 perlawanan disertainya tahun ini dan kini berada di ranking ke-47 dunia.

Selain Aifa, antara pemain wanita negara yang bakal bersaing adalah pemain nombor dua negara, Rachel Arnold dan Chan Yiwen.

Rachel diundi bertemu pemain Hong Kong, Tong Tsz Wing di pusingan pertama manakala Yiwen menentang Hana Ramadan dari Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 5:52 PM