Bekas atlet berbasikal negara era 90an, Azrin Hazmi
Bekas atlet berbasikal negara era 90an, Azrin Hazmi
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) terus mengorak langkah untuk membantu bekas-bekas atlet menempuh masa depan yang lebih cerah dengan menganjurkan Program Pemerkasaan Kemahiran.

Ia adalah lanjutan daripada siri pertama yang dilaksanakan tahun lalu dengan kerjasama daripada Yayasan Hasanah dan kali ini membabitkan penyertaan 100 bekas altet kebangsaan.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, matlamat utama program berkenaan adalah untuk membantu bekas atlet dengan menyediakan saluran yang betul bagi meningkatkan kemahiran mereka agar dapat bangkit semua menjana pendapatan dan menstabilkan ekonomi masing-masing.

"Kursus kemahiran dan keusahawanan ini dianjurkan khas untuk bekas atlet negara dan dilaksanakan dari 8 hingga 14 November.

"100 peserta berjaya menamatkan kursus dan dari jumlah itu seramai 15 orang terdiri daripada atlet para.

"Mereka yang menamatkan kursus ini akan diberikan sijil serta bantuan berupa peralatan yang bersesuaian dengan bidang kurus yang diceburi," katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta yang juga bekas atlet berbasikal negara, Azrin Hazmi, kursus disertai selama seminggu banyak membantunya mendalami ilmu perniagaan sejuk beku diceburi sejak 10 tahun.

"Kursus ini membantu saya dalam perniagaan BBQ yang saya ceburi sejak 10 tahun lalu. Ia amat bertepatan membantu saya mendalami ilmu sejuk beku.

"Saya dapat pelajari skil masakan yang betul dan skil pemasaran dan skil memproses (makanan) sejuk beku," kata Azrin yang pada ketika ini mempunyai gerai dan turut menjalankan perniagaannya secara atas talian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 6:11 PM