NOVAK Djokovic. FOTO EPA
NOVAK Djokovic. FOTO EPA
Agensi

Rom: Novak Djokovic mengakui berasa lebih segar berbanding sebelum ini menjelang saingan Final ATP bermula esok dalam usahanya untuk menyamai rekod Roger Federer meraih enam kemenangan di kejohanan itu.

Sensasi Serbia berusia 34 tahun itu memburu kemenangan pertama di kejohanan itu sejak kali terakhir memenanginya pada 2015.

Selepas tersingkir di Terbuka Amerika Syarikat (AS) September lalu, Djokovic mengambil masa untuk berehat sebelum kembali memenangi Paris Masters, minggu lalu.

"Saya memerlukan rehat untuk kembali cergas dan bersedia meraih penamat terbaik musim ini," kata pemain nombor satu dunia itu.

Djokovic menikmati musim cemerlang dengan memenangi Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Wimbledon sekali gus menyamai rekod Federer dan Rafael Nadal dengan memenangi 20 gelaran Grand Slam.

Jika memenangi Terbuka AS, dia dapat mengatasi rekod dua seteru utamanya itu buat kali pertama dan muncul pemain pertama sejak Rod Laver pada 1969 memenangi kesemua empat kejuaraan utama pada tahun yang sama.

"Saya tidak beraksi banyak kejohanan seperti tahun-tahun sebelum ini tetapi berasa sangat letih terutamanya apabila beraksi di saingan Grand Slam," Djokovic.

"Apabila saya menyatakan keletihan, ia bukan bermakna fizikal saja tetapi juga mental dan emosi."

Djokovic memenangi Final ATP pada 2008 dan kemudian mendominasinya dari 2012 sehingga 2015. Satu lagi kemenangan menyaksikannya menyamai rekod Federer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 12:39 PM