Aksi Emma Raducanu berdepan Xinyu Wang di Terbuka Linz. FOTO EPA
Aksi Emma Raducanu berdepan Xinyu Wang di Terbuka Linz. FOTO EPA
AFP

Linz, Austria: Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu meneruskan aksi mengecewakan musim ini apabila tersingkir pada pusingan kedua kejohanan WTA ke atas pemain nombor 106 dunia, Wang Xinyu 6-1, 6-7 (0/7), 7-5.

Pemain pilihan utama, Emma, 18, yang mengesahkan selepas perlawanan itu melantik Torben Beltz sebagai jurulatih barunya, mengejutkan dunia tenis pada September lalu selepas menjadi pemain pertama kelayakan memenangi kejohanan utama.

Beraksi dalam kejohanan ketiganya selepas kejayaan di Flushing Meadows pemain remaja British, yang kini di ranking 20 dunia, bergelut berdepan lawan berusia 20 tahun dari China itu.

Pemain Britain itu dilihat mempamerkan aksi di luar kemampuan sebenar sehingga membolehkan Xinyu memenangi aksi penentuan.

Emma beraksi tanpa jurulatih sejak berpisah dengan Andrew Richardson sejurus meraih kejayaan di New York.

Dia bagaimanapun mengesahkan laporan media British bahawa Beltz, 44, yang sebelum ini melatih bekas pemain nombor satu dunia, Angelique Kerber ketika kejayaan di kempen Terbuka Australia 2016 dan Terbuka AS, akan mengambil alih tugas berkenaan bermula musim depan.

Emma Raducanu (kanan) mengucapkan tahniah kepada Wang Xinyu. FOTO AFP
Emma Raducanu (kanan) mengucapkan tahniah kepada Wang Xinyu. FOTO AFP

"Saya sangat teruja untuk berkerja sama dengannya menjelang pra musim dan seterusnya tahun depan," kata Raducanu.

"Saya rasa gembira dengan semua usaha yang akan dilakukan nanti. Saya fikir dia akan berkongsi banyak pengalaman. Semestinya dia berkerja sama dengan Kerber, yang juga pemain hebat dan beraksi dengan baik, memenangi tiga Slam.

"Saya fikir pengalaman itu pastinya membantu dengan seseorang yang tidak berpengalaman seperti saya. Dia dapat membimbing saya melakukannya."

Xinyu akan berdepan pemain pilihan kelapan dari AS, Alison Riske pada suku akhir selepas pemain itu mencatat kemenangan 6-4,6-4 ke atas Alize Cornet.

Pemain pilihan kedua, Simona Halep yang terlepas aksi Terbuka Perancis dan Wimbledon tahun ini kerana kecederaan turut mara dalam kelompok lapan terakhir selepas menang 7-5, 6-3 ke atas Aliaksandra Sasnovich.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 12:13 PM