Novak Djokovic bersama trofi dimenangi di kejohanan tenis Paris Masters. FOTO EPA
Novak Djokovic bersama trofi dimenangi di kejohanan tenis Paris Masters. FOTO EPA
AFP

Paris: Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic memenangi gelaran ke enam di Paris dan merekodkan mahkota ke-37 Masters selepas menewaskan juara 2020, Daniil Medvedev 4-6, 6-3, 6-3 pada final.

Sensasi Serbia berusia 34 tahun berjaya membalas dendam di atas kekalahan kepada lawan dari Rusia yang meleburkan impiannya merangkul Grand Slam di final Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada September lalu.

Gelaran Masters itu memastikan Djokovic menguasai kedudukan sebagai pemain nombor satu pada penghujung musim buat kali ketujuh.

Pemenang 20 kali Grand Slam itu berkata aksi pada perlawanan akhir ditempuhi dengan perasaan tenang selepas melengkapkan tanda aras pemain nombor satu dunia.

Djokovic tidak goyah selepas ketinggalan di set pertama ke atas pemain yang disifatkan 'pemain lengkap' dan dijangka menjadi pemain nombor satu dunia pada masa hadapan.

"Ia adalah perlawanan penentuan yang sengit dengan hanya perbezaan beberapa mata yang rapat." katanya.

"Saya gembira dengan bagaimana saya mengawal gementar pada penghujung saingan dan memastikan kemenangan.

"Saya mahu menamatkan saingan penghujung musim dengan trofi dan tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada mental serta fizikal diri sendiri.

"Saya tahu perkara itu akan datang serentak dan saya berusaha mengatasinya."

Djokovic berkata dia tidak memikirkan mengenai kekalahan di Terbuka AS yang lalu.

"Saya sudah melupakannya," katanya.

"Saya tidak merasa kecewa atau kesal kerana tidak merangkul gelaran itu dalam kalendar Slam tahun ini.

"Saya memberi tumpuan kepada acara Masters dan hadir di sini untuk mencapai impian yang mahu saya lakukan."

Medvedev berkata Djokovic - yang disifatkan sebagai 'rakan' - sangat kuat pada mata penting.

"Saya tidak suka tewas, jadi saya tidak boleh katakan saya gembira, saya juga tidak suka tewas di Play Station!" kata Medvedev pada sidang media.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 9:44 AM