AZLAN (kanan) harap sukan pemotoran tidak diabaikan menjelang Belanjawan 2022. FOTO NSTP
AZLAN (kanan) harap sukan pemotoran tidak diabaikan menjelang Belanjawan 2022. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Barisan atlet negara mengharapkan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 November ini memberi khabar gembira buat sukan tanah air.

Antara yang paling diharapkan adalah skim pencen yang selama ini menjadi idaman buat semua atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Jika dapat direalisasikan ia akan mampu menarik lebih ramai lagi bakat di luar sana untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya kerana dapat menjamin masa depan yang lebih stabil.

Itu antara harapan yang diimpikan oleh atlet tenpin boling negara, Rafiq Ismail agar kerajaan di bawah pimpinan Menteri Belia dan Sukan yang baru, Datuk Seri Faizal Azumu dapat merealisasikan skim pencen berkenaan.

"Apa yang saya harap cuma satu, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau pencen.

"Sudah beberapa tahun atlet seperti kami membincangkan mengenai dan semoga tahun ini ia menjadi kenyataan," katanya.

Sementara itu bekas pelumba pemotoran negara yang pernah beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP), Azlan Shah Kamaruzaman berharap kerajaan tidak lagi menganaktirikan sukan permotoran.

Dia yang pernah beraksi dalam kategori Moto2 pada tahun 2013 hingga 2015 berkata, atlet yang terbabit dalam dunia permotoran ini tetap membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

"Kami membawa misi yang sama, menjulang nama negara. Jika berjaya kami akan disanjung tapi dari segi bantuan sukan permotoran ini langsung tidak mendapat perhatian.

"Justeru sempena belanjawan 2022 ini, saya harap kerajaan dapatlah membuka mata sedikit untuk beri perhatian yang lebih khusus kepada pelumba permotoran negara," katanya.

Sementara itu bagi atlet karete negara, S Prem Kumar, dia mengharapkan berita gembira buat atlet.

"Tak banyak yang saya harapan. Cuma ada satu saja. Kerajaan berikan yang terbaik dan kami atlet berjanji untuk berikan yang terbaik juga," katanya.

Pada Belanjawan 2021 kerajaan memperuntukkan RM55 juta khususnya kepada sukan berprestasi tinggi untuk program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal.

Ia juga meliputi pembangunan atlet wanita termasuk RM15 juta kepada pembangunan e-Sports.

Kerajaan juga akan menyediakan RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.

Bagi pengusaha industri sukan RM20 juta disediakan sebagai pinjaman mudah di bawah skim TEKUN Sukan untuk memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 11:14 PM