DJOKOVIC berkemungkinan tidak boleh beraksi di Terbuka Australia. FOTO AFP
DJOKOVIC berkemungkinan tidak boleh beraksi di Terbuka Australia. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Pemain tenis yang belum divaksin berkemungkinan tidak akan mendapat visa untuk bermain di Terbuka Australia, selepas pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran berkenaan hari ini.

Sekali gus menimbulkan pertanyaan mengenai penyertaan penyandang juara, Novak Djokovic untuk saingan tahun depan.

Ketua pemerintah Vitctoria, Dan Andrews berkata, beliau menjangkakan tidak akan ada pengecualian peraturan vaksin Covid-19 Australia buat pemain yang akan beraksi di Grand Slam berkenaan Januari tahun depan.

"Saya tidak rasa pemain yang belum divaksin akan mendapat visa untuk datang ke negara ini.

"Virus tidak akan memilih ranking anda atau berapa banyak Grand Slam yang sudah dimenangi

"Jika mereka mendapat visa sekali pun, mereka akan menjalani kuarantin beberapa minggu, sedangkan pemain lain tidak perlu melaluinya," kata Andrews.

Kenyataan Andres hadir selepas Djokovic memberitahu media Serbia dia belum pasti sama ada akan beraksi di Terbuka Australia.

"Saya belum pasti sama ada akan ke Australia. Saya tidak tahu apa yang berlaku. Situasi sekarang tidak berapa baik," katanya.

Pemain nombor satu dunia itu secara terbuka menyatakan bahawa dia menolak pengambilan vaksin sebelum ini dan enggan memberitahu sama ada dia sudah atau pun belum disuntik.

"Ia adalah perkara peribadi. Banyak sangat orang diberi kebebasan untuk bertanya dan menghukum, apa saja jawapan yang diberikan boleh tersalah maksud.

"Sudah tentu saya mahu mengambil bahagian, Australia adalah Grand Slam yang banyak kali saya menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 9:24 PM