ABDUL Latif memenangi pingat Emas bagi acara lompat jauh T20 di Stadium Olimpik, semalam. FOTO Bernama
ABDUL Latif memenangi pingat Emas bagi acara lompat jauh T20 di Stadium Olimpik, semalam. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bukan imbuhan yang bermain di fikiran Abdul Latif Romly sebelum turun beraksi tapi fokus untuk mempertahankan emas yang dimenanginya pada 2016 di Paralimpik Rio bagi membuktikan kemenangan sebelum ini bukan sekadar nasib.

Perkara itu diakui sendiri oleh atlet berusia 24 tahun itu yang menjelaskan tidak mempunyai apa-apa perancangan mengenai ganjaran RM1 juta yang kedua selepas memperoleh nilai sama lima tahun lalu.

"Kali ini saya tidak ada apa-apa perancangan (ganjaran RM1 juta), saya hanya mahu mempertahankan pingat emas saja. Saya tidak fikir mengenai wang ringgit, apabila dapat memang rezeki, Alhamdulillah," katanya dalam sidang media semalam.

Latif menghadiahkan pingat emas ketiga Malaysia dalam acara lompat jauh lelaki T20 di Stadium Olimpik Tokyo, semalam.

Kejayaan itu sekali gus memenuhi sasaran kontinjen Paralimpik negara untuk membawa pulang sekurangnya tiga emas pada edisi kali ini.

Atlet kelahiran Perlis itu cukup sukar digugat apabila lompatan kedua iaitu 7.45 meter langsung tidak mampu dicabar oleh peserta lain.

Bagaimanapun, dia tidak mampu untuk melakukan lompatan terakhir selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika melakukan lompatan kelima.

"Pertama sekali fokus saya adalah untuk melakukan pemulihan kecederaan, berehat dan balik kampung tenangkan fikiran. Sudah lapan bulan tidak pulang dan jumpa keluarga. Selepas itu mungkin fokus kepada Para Asia dan Kejohanan Para Dunia.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada atlet Greece, Athanasios Prodromou kerana dia orang pertama datang membantu saya ketika mengalami kecederaan. Tapi saya tidak boleh fokus sangat apa yang diperkatakannya kepada saya.

"Dia datang sapu pasir di badan saya. Saya akan jumpa dia hari ini dan ingin mengucapkan terima kasih kerana tolong saya," katanya.

Latif juga mengakui dia berasa sangat terharu kerana pengorbanan dan persiapannya selama lapan bulan berlatih tidak berhenti-henti membuahkan hasil.

"Saya tidak berhenti berlatih, saya datang ke Tokyo adalah untuk buat yang terbaik dan cuba memecahkan rekod dunia dengan melakukan lompatan lapan meter, namun mungkin saya akan cuba untuk melakukannya di kejohanan lain (selepas gagal merealisasikan impian berkenaan di Paralimpik 2020)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 1:08 PM