ABDUL Latif Romly. FOTO Abdullah Yusof
ABDUL Latif Romly. FOTO Abdullah Yusof
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly tidak mahu melihat kejayaan terdahulu dijadikan sebagai ukuran untuknya mencipta kejayaan apabila turun beraksi di Stadium Olimpik Tokyo, esok.

Pemenang pingat emas Rio 2016 itu berkata, dia melihat ada beberapa atlet lain mampu menafikan peluangnya mengekalkan pingat emas, antaranya atlet dari Australia, Nicholas Hum dan Ranki Oberoi (Belanda) yang berkongsi rekod terbaik 7.39m.

Menurut jurulatih lompat jauh Paralimpik negara, Shahrul Amri Suhaimi, keadaan Latif boleh dikatakan berada pada tahap terbaik seterusnya bersedia melakukan kejutan apabila turun beraksi esok.

"Ketika ini hanya fokus utama adalah kestabilan mental dan fizikalnya apabila turun bertanding, selain memohon doa serta sokongan daripada rakyat Malaysia.

"Persediaan dan persiapan sudah dilakukan. Sekarang ini terarah kepada fokus kepada fizikal dan mental dia sahaja.

"Saya tidak mahu memberi sebarang tekanan kepadanya dan ingin dia lakukan lompatan yang terbaik. Semangat dan kesungguhan yang ditunjukkannya amat baik pada masa ini.

"Pada masa sama, saya mohon kepada rakyat Malaysia mendoakan kejayaan Latif dan atlet negara. Semoga mereka diberikan kejayaan di Tokyo," katanya.

Latif adalah pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m dan rekod Paralimpik (7.60m), malah dia memasang impian untuk memecah rekod dunia sekali lagi di Tokyo.

Jika rekod dijadikan ukuran, pemegang rekod dunia dan Paralimpik acara lompat jauh T20 itu kemungkinan tidak berdepan masalah untuk membawa pulang emas sekali gus mempertahankan lompatan terbaiknya 7.64 meter yang dilakukan di Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 11:13 PM