JEANETTE (tengah) pengsan selepas ditumbuk Marie.
JEANETTE (tengah) pengsan selepas ditumbuk Marie.
AFP

Montreal: Petinju muda Mexico berusia 18 tahun, Jeanette Zacarias Zapata meninggal dunia selepas lima hari menerima rawatan akibat kecederaan dialami ketika bertarung, menurut promoter, Yvon Michel.

"Kami menerima berita menyedihkan dari wakil keluarganya bahawa Jeanette Zacarias Zapata meninggal dunia petang ini pada jam 3:45 pm.," menurut kenyataan Groupe Yvon Michel.

Jeanette menyertai GYM Gala International Boxing di Montreal pada Sabtu lalu namun tewas kepada Marie Pier Houle di pusingan keempat kategori welterweight.

Tumbukan ke dagu dan kanan Marie menyebabkan Jeanette tumbang di pusingan keempat.

Dia tidak memberi respon kepada loceng untuk pusingan kelima daripada enam pusingan itu dan dikejarkan ke hospital.

"Kami di pasukan Groupe Yvon Michel sangat berdukacita dengan pengumuman itu,'' kata promoter terbabit sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Jeanette terutama suaminya, Jovanni Martinez.

"Jovanni belum mahu mengeluarkan sebarang komen buat masa ini,'' kata kenyataan itu lagi.

Marie pula dalam akaun Facebook berkata dia terkejut dengan apa yang berlaku.

"Tinju memang terdedah dengan risiko dan bahaya,'' katanya. "Ini tugas kami, minat kami. Tapi saya tidak pernah terniat untuk mencederakan lawan dengan serius.''

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 3:31 PM