ATLET berbasikal Paralimpik negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi (kiri) bersama rakan seperjuangannya. FOTO Ihsan Zuhairie Ahmad Tarmizi
ATLET berbasikal Paralimpik negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi (kiri) bersama rakan seperjuangannya. FOTO Ihsan Zuhairie Ahmad Tarmizi
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba trek para negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi mahu memastikan dapat meraih keputusan lebih baik dalam acara terakhirnya iaitu ujian masa individu lelaki C1 esok di Fuji International Speedway.

Ia bagi menebus rasa kurang puasnya dalam dua acara yang sudah diharunginya di Paralimpik Tokyo sebelum ini iaitu 1,000 meter (m) ujian masa lelaki C4-5 dan kategori C1-5.

Zuhairie menamatkan saingan 1,000 meter (m) ujian masa lelaki C4-5 dengan catatan 1 minit 06.472 saat (s) untuk berada di tempat ke-10 daripada 21 peserta yang beraksi di Velodrom Izu, sekali gus memperbaiki catatan terbaik peribadinya 1:07s dalam Kejohanan Dunia di Milton, Kanada pada Februari 2020.

Dia mensasarkan pingat dalam acara 1,000m ujian masa namun terpaksa mengakui tahap di Paralimpik Tokyo sangat tinggi.

Manakala dalam kategori C1-5, barisan pelumba negara yang dibarisi Zuhairie, Muhammad Hafiz Jamali dan Mohamad Yusof Hafizi tetap mempamerkan aksi membanggakan di Velodrom Izu.

Ketiga-tiga pelumba negara itu merekodkan 50.532 saat sekali gus memperbaiki catatan masa terbaik peribadi 51.872s yang dilakukan ketika menyertai Kejohanan Dunia di Milton.

"Kalau ikutkan memang ada rasa tak puas hati. Tapi nak buat macam mana bukan rezeki saya lagi. Yang penting saya sudah buat sehabis baik.

"Tapi dalam dua acara sebelum ini, saya berjaya memperbaiki catatan peribadi terbaik. Bagi saya ia masih lagi Ok dan ada rasa kepuasan juga," katanya.

Jelas Zuhairie, acara yang akan disertainya esok adalah antara yang digemarinya.

Untuk rekod, dia pernah memenangi satu perak dan gangsa dalam trek pada pentas Sukan Para Asia Indonesia 2018. Atlet berusia 31 tahun itu juga pernah memenangi tiga emas dan satu perak pada Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 2:03 PM