Virandeep Singh. FOTO Ihsan MCA
Virandeep Singh. FOTO Ihsan MCA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Virandeep Singh menjadi pemain kriket pertama dari Malaysia menyertai Everest Premier League Nepal 2021, selepas menandatangani kontrak dengan pasukan Chitwan Tigers, semalam.

Edisi keempat kejohanan Twenty-20 (T20), yang terkenal disebabkan penyertaan tertinggi dalam kalangan pasukan kriket domestik negara anggota International Cricket Council (ICC) itu, dijadualkan berlangsung dari 25 September hingga 9 Oktober ini.

Chitawan Tigers yang berpangkalan di daerah Chitwan, merupakan salah satu daripada enam francais T20 kriket terbesar Nepal, menyediakan peluang terbaik bagi Virandeep untuk mempamerkan kehebatannya dalam sukan itu.

Virandeep, 22, berhasrat untuk merebut peluang ini bagi menampilkan kehebatan diri dan juga pemain kriket Malaysia di luar negara, walaupun hakikatnya sukan ini belum lagi menjadi sukan yang popular di negara ini.

"Ini adalah sesuatu yang saya sentiasa inginkan (bermain di liga antarabangsa), memang menjadi matlamat saya sejak lama. Ia permulaan baharu, bukan sahaja bagi diri saya tapi juga bagi negara, kerana apabila muncul seseorang rakyat Malaysia memulakannya, pasti ada yang akan menyusul nanti," katanya.

"Dari segi prestasi, saya berhasrat untuk beraksi apabila diberi peluang pada bila-bila masa, dan menunjukkan kehebatan Malaysia," katanya.

Virandeep, yang kini berlatih sendiri susulan pelbagai sekatan disebabkan pandemik Covid-19 berkata, dari segi kemahiran, pemain kriket Malaysia pada pandangannya adalah setaraf dengan pemain Nepal, namun dari segi pendedahan dan sokongan peminat, Nepal lebih hebat kerana kriket merupakan sukan yang paling diminati di negara itu.

Nepal berada di kedudukan ke-12 dalam ranking T20 International, manakala Malaysia di kedudukan ke-31 dalam kalangan 82 pasukan yang disenaraikan di laman web ICC.

Sementara itu Persatuan Kriket Malaysia (MCA) mengucapkan tahniah kepada Virandeep dan yakin negara akan menyaksikan lebih ramai pemain kriket tempatan diberikan peluang yang sama dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 8:59 PM