AKSI antara Ugas (kiri) dan Pacquiao semalam. FOTO AFP
AKSI antara Ugas (kiri) dan Pacquiao semalam. FOTO AFP
Agensi

Las Vegas: Yordenis Ugas bersedia 200 peratus untuk bertarung dengan Manny Pacquiao lagi ketika dia menawarkan legenda tinju dunia itu perlawanan semula.

Petinju Cuba itu menewaskan Pacquiao semalam yang juga penampilan pertama ikon Filipina itu selepas lebih dua tahun.

Ugas, 35, hanya tampil bertemu PacMan, 43, selepas lawan sebenar Pacquiao, Errol Spence Jr, 31, terpaksa menarik diri kerana mengalami kecederaan di mata.

Juara WBA itu mengekalkan tali pinggangnya yang sebelum itu disandang Pacquiao tetapi dilucutkan kerana tidak beraksi berikutan pandemik Covid-19.

Ugas berkata, dia bersedia menawarkan lawannya satu lagi perlawanan untuk memenangi kembali gelaran itu.

"Dia boleh mahukan perlawanan semula. 200 peratus, Manny adalah seorang legenda dan petinju terbaik.

"Dia mahu perlawanan semula, tiada masalah kerana legenda sepertinya berhak menuntut perlawanan ini," katanya.

Beraksi pada perlawanan ke-72, Pacquiao bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada ia adalah perlawanan terakhirnya.

"Pada masa depan, anda mungkin tidak akan menyaksikan lagi Manny Pacquiao beraksi lagi di dalam gelanggang. Saya tidak tahu.

"Tapi untuk selama beberapa dekad, saya sangat gembira dengan apa yang sudah saya lakukan di dalam sukan tinju," kata Pacquiao.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 11:33 AM