KAWAMURA (kiri) dilihat menggigit pingat emas Miu. FOTO Agensi
KAWAMURA (kiri) dilihat menggigit pingat emas Miu. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Pingat emas Olimpik yang dimenangi oleh seorang atlet Jepun akan digantikan dengan yang baharu selepas Datuk Bandar di tempat tinggalnya menggigit pingat berkenaan.

Takashi Kawamura, Datuk Bandar Nagoya, mencetuskan kemarahan selepas dia membuka pelitup muka dan menggigit pingat atlet sofbol, Miu Goto.

Dia didakwa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan tidak mempunyai rasa hormat.

Kini pegawai Olimpik berkata, mereka akan menggantikan pingat emas Miu selepas Datuk Bandar itu meminta maaf dan berkata beliau akan membayar kos penggantian pingat berkenaan.

Datuk Bandar berkenaan menerima kecaman selepas menggigit pingat itu di antara giginya pada satu majlis meraikan kemenangan Jepun ke atas Amerika Syarikat (AS) di final sofbol wanita.

Pengguna media sosial berkata, tindakan Datuk Bandar itu menjijikkan dan tidak sopan terhadap atlet berkenaan.

"Selain menunjukkan kurang rasa hormat kepada atlet, kelakuannya menggigit itu boleh menyebabkan penyebaran jangkitan. Maaf, saya tidak dapat memahaminya," kata pemenang pingat perak lawan pedang, Yuki Ota di Twitter.

Datuk Bandar berusia 72 tahun itu kemudian mengemukakan permohonan maaf kerana kelakuannya itu yang menerima 7,000 aduan di bandar berkenaan.

"Saya lupa kedudukan saya sebagai Datuk Bandar Nagoya dan bertindak dengan tidak sepatutnya," katanya sambil menambah akan membayar kos penggantian pingat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 12:51 PM