DJOKOVIC mematahkan raketnya selepas tewas kepada  Carreno Busta di Tokyo. FOTO AFP
DJOKOVIC mematahkan raketnya selepas tewas kepada Carreno Busta di Tokyo. FOTO AFP
AFP

Washington: Novak Djokovic yang mahu melengkapkan kalendar Grand Slam di Terbuka Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada Masters ATP Cincinnati hari ini dengan alasan memerlukan lebih masa rehat selepas tamat Olimpik Tokyo.

Pilihan utama dari Serbia itu yang menyamai rekod sepanjang zaman dengan 20 gelaran Grand Slam boleh menjadi pemain pertama sejak Rod Laver pada 1969 memenangi empat gelaran dalam tempoh setahun.

Djokovic, 34, tewas di Tokyo kepada Alexander Zverev dalam aksi separuh akhir dan kemudiannya gagal merebut pingat gangsa selepas dimalukan Pablo Carreno Busta sekali gus boleh dianggap perlawanan pemanas badan terakhir selepas menarik diri daripada kejohanan di Cincinnati.

"Saya perlukan lebih masa untuk berehat selepas perjalanan panjang dari Australia ke Tokyo," kata Djokovic di media sosialnya.

"Ini bermakna saya tidak dapat bersedia untuk bertanding di Cincinnati tahun ini. Jadi saya akan fokus kepada Terbuka AS dan menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga. Jumpa anda di New York tak lama lagi!"

Djokovic adalah juara dua kali Cincinnati termasuk tahun lalu ketika dilangsungkan di New York susulan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Cincinnati tetap menarik perhatian lima bekas juara termasuk Rafael Nadal, juara 2019 Daniil Medvedev, Marin Cilic, Grigor Dimitrov dan juara dua kali dari Britain, Andy Murray.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 10:50 AM