REEZAL bergambar dengan jaguh keirin negara, Datuk Azizulhasni Awang. FOTO FB Reezal Merican Naina Merican
REEZAL bergambar dengan jaguh keirin negara, Datuk Azizulhasni Awang. FOTO FB Reezal Merican Naina Merican
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengambil pendekatan bersifat 'gentleman' apabila mengakui kegagalan kontinjen negara memenuhi sasaran tiga pingat termasuk emas pertama di Olimpik Tokyo yang menutup tirainya semalam.

Malah Reezal tanpa berselindung memohon maaf kepada jutaan rakyat Malaysia berikutan kegagalan itu yang menyaksikan kontinjen negara meraih masing-masing satu perak dan gangsa pada edisi kali ini.

"Saya sebagai Menteri Belia dan Sukan secara ikhlas dan jujur ingin memohon maaf kerana tak dapat menyempurnakan impian untuk membawa pulang tiga pingat termasuk tak mampu bawa pingat emas.

"Pingat emas masih kekal elusif. Tapi ia permulaan yang dapat kita lakukan dalam misi untuk ke Paris 2024. Saya optimis, Insya-Allah kita akan mulakan rentak baharu bagi melakar pencapaian lebih hebat demi untuk Malaysia," katanya pada sidang media kontinjen negara di Olimpik Tokyo.

Jelas Reezal, setiap janji yang diungkapkan perlu dicapai dan atas faktor itulah beliau mengemukakan permohonan maaf berikutan kegagalan berkenaan.

"Sebenarnya banyak cabaran dan kejutan yang dilalui atlet di Tokyo. Atlet dari negara lain juga sama seperti Singapura yang pernah memenangi emas tapi tak menang kali ini. Yang pasti, atlet kita datang ke Olimpik bukan makan angin.

''Banyak yang dikorbankan dan ada yang menangis kerana gagal mencapai apa yang dimahukan. Satu perak dan satu gangsa masih lagi pencapaian kedua terbaik kontinjen negara, tidaklah teruk sangat," katanya.

Kontinjen negara memperoleh satu pingat perak menerusi jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan gangsa sumbangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Terjun yang disasarkan untuk meraih pingat dilihat gagal pada kempen kali ini apabila pulang dengan tangan kosong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 2:29 PM