JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menang pingat perak keirin lelaki pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, hari ini. FOTO Bernama
JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menang pingat perak keirin lelaki pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, hari ini. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kejayaan pelumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang merangkul pingat perak acara keirin dan gangsa daripada beregu badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Olimpik Tokyo 2020, bakal disusuli insentif daripada pelbagai pihak.

Antara pihak terawal menawarkan hadiah penghargaan kepada pemenang pingat untuk negara itu ialah Penjelajah Grand Slam, Datuk Muhammad Muqarabbin Mokhtarudin atau lebih dikenali Qobin.

Atas kapasiti peribadinya, Qobin menghadiahkan RM15,000 kepada Azizulhasni dan RM10,000 buat pasangan Aaron Chia-Wooi Yik.

"Sebagai atlet, saya merasa cukup berbangga dengan pencapaian dilakar sahabat saya, Azizul dan Aaron-Wooi Yik atas kejayaan mereka membawa pulang pingat untuk negara.

"Pencapaian mereka sungguh bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia dan sebagai tanda terima kasih, saya menghadiahkan sumbangan kecil ini untuk mereka atas kapasiti peribadi saya" katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Qobin sebelum ini memaklumkan akan menyumbangkan RM25,000 dan pakej menunaikan haji kepada pemenang emas, RM15,000 (perak) dan RM10,000 bagi pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020.
Ia sebagai pembakar semangat kepada Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom selepas mereka melayakkan diri ke peringkat suku akhir acara keirin semalam.

Katanya, pengorbanan Azizulhasni tidak ada nilainya selepas melalui pelbagai dugaan dalam kariernya termasuk meninggalkan keluarga dan melupakan kehidupan usia mudanya demi menjulang nama negara di persada dunia.

"Dia sememangnya amat luar biasa dan sangat berjiwa kental. Jijoe mengorbankan segalanya untuk Malaysia dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghargainya dalam apa juga bentuk sekalipun.

"Saya mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada Jijoe kerana mengharumkan nama Malaysia serta menggembirakan seluruh rakyat Malaysia dengan pingat perak diperolehinya.

"Kepada Aaron dan Wooi Yik, saya berbangga dengan anda berdua yang juga wira negara menyatukan seluruh rakyat Malaysia pelbagai bangsa menerusi kemenangan gangsa dan terimalah sumbangan ini sebagai penghargaan daripada saya."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 5:57 PM