AZIZULHASNI akan turun dalam acara keirin esok. FOTO Bernama
AZIZULHASNI akan turun dalam acara keirin esok. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sandaran kini diletakkan kepada dua atlet berbasikal negara Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk merealisasikan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya tiga pingat termasuk satu emas buat negara.

Ketika ini, Malaysia memperoleh satu pingat gangsa menerusi gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya menewaskan pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan tempoh hari.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beberapa acara seperti terjun 10 meter platform seirama dan individu wanita yang diletakkan harapan untuk memenangi pingat namun berlaku sebaliknya apabila pulang dengan tangan kosong.

Beliau berkata, ketika ini harapan disandarkan kepada Azizul dan Shah Firdaus untuk mencipta kejutan seterusnya berjaya membawa pulang pingat untuk negara.

"Dalam acara terjun menjadi prospek untuk menyumbang pingat tapi tidak mencapainya namun mempunyai keputusan baik seperti yang dicapai oleh Dhabitah (Nur Dhabitah Sabri).

"Kita masih ada lagi Azizul dan Shah Firdaus dalam acara keirin… Kita doakan mudah-mudahan mereka berjaya melakukan kejutan.

"Semalam saya ada berbual dengan Azizul dan Shah Firdaus, mereka berazam menyumbang pingat untuk negara," katanya.

Mengikut rekod, pada edisi Olimpik Rio 2016 kontinjen negara berjaya membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Azizul dan Shah Firdaus mampu melakar kejayaan memperoleh emas dan gangsa dalam acara keirin esok, Reezal hanya meminta rakyat Malaysia berdoa supaya kejayaan itu dapat dicapai.

"Saya dah tak mahu cakap mendabik dada kerana segala-galanya boleh berlaku dan kita doakan yang terbaik untuk mereka," katanya.

Azizul yang juga pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 akan meneruskan cabaran negara bersama Shah Firdaus dalam pusingan pertama acara keirin lelaki esok(untuk paper hari ini).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 3:04 PM