SIMONE hanya berpuas hati dengan gangsa dalam acara batang titian akhir. FOTO EPA
SIMONE hanya berpuas hati dengan gangsa dalam acara batang titian akhir. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Penantian Simone Biles untuk beraksi di Olimpik Tokyo diakhiri dengan meraih gangsa dalam acara batang titian yang dimenangi atlet remaja China, Guan Chenchen di Pusat Gimnastik Ariake.

Ia adalah kali pertama bintang Amerika Syarikat (AS) itu merasai kejohanan di Tokyo selepas menarik diri secara mengejut dalam saingan akhir berpasukan minggu lalu, selepas berdepan masalah hilang kemampuan untuk mengorientasikan diri di udara.

Ia adalah pingat Olimpik ketujuh Simone menyamai rekod seorang lagi gimnas AS, Shannon Miller.

Pemenang empat emas di Rio itu mendapat sokongan padu dari rakan senegaranya apabila dia memasuki gelanggang.

"Saya gembira dapat beraksi tanpa mengira kedudukan yang diraih. Saya melakukannya untuk saya dan saya bangga kerana dapat bertanding sekali lagi.

"Berlatih selama lima tahun dan kemudian datang ke sini, dan kemudian berdepan masalah yang tidak mampu saya melakukan apa-apa, ia memang tidak menyenangkan," katanya yang mendedahkan ibu saudaranya meninggal dua hari lalu.

Selepas menarik diri dalam tiga lagi aparatus, palang bertingkat, melombol dan senaman lantai, Simone hanya membuat keputusan untuk menyertai batang titian malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 8:41 PM