DALEY dan Matty Lee dari Britain menggigit pingat selepas menjuarai acara 10m terjun serentak kelmarin. FOTO Agensi
DALEY dan Matty Lee dari Britain menggigit pingat selepas menjuarai acara 10m terjun serentak kelmarin. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Menggigit pingat kemenangan di atas podium ketika sesi fotografi sudah menjadi kebiasaan dalam mana-mana temasya sukan bagi menggambarkan kegembiraan seseorang atlet yang menjuarai sesuatu acara.

Namun kali ini penganjur Sukan Olimpik Tokyo di dalam Twittter mengingatkan atlet bahawa pingat di temasya itu tidak sesuai digigit kerana diperbuat daripada alat elektronik yang dikitar semula hasil sumbangan masyarakat Jepun.

'Jadi, anda tidak perlu menggigitnya tetapi kami tahu anda akan melakukannya,'' kata penganjur.

Dengan jumlah kes Covid-19 semakin meningkat di Tokyo, peringatan mesra itu sebagai langkah berwaspada selepas terdapat beberapa atlet yang mengekalkan tradisi lama meraikan kejayaan apabila menggigit pingat mereka.

Perenang Britain, Adam Peaty dan Tom Daley berbuat demikian selepas masing-masing memenangi pingat emas kelmarin manakala pasukan Amerika Syarikat dan skuad lawan pedang Estonia turut menggigit pingat.

Tetapi mungkin atlet tidak menyedari jumlah tangan yang menyentuh pingat terbabit sebelum sampai ke mulut mereka. Projek Pingat Tokyo 2020 mengambil masa dua tahun untuk mengumpulkan gajet bagi menghasilkan sekitar 5,000 pingat emas, perak dan gangsa yang diberikan kepada atlet Olimpik.

Kempen kitar semula itu menghasilkan 32kg emas, 3,492.7kg perak dan 2,199.9kg gangsa yang diperbuat daripada hampir 80 tan telefon bimbit terpakai, laptop dan gajet lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 7:27 AM