ATLET renang China terus memakai pelitup muka selepas menamatkan saingan. FOTO AFP
ATLET renang China terus memakai pelitup muka selepas menamatkan saingan. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Atlet Olimpik yang meraih pingat diberi keistimewaan selepas penganjur memberi kebenaran untuk mereka membuka pelitup muka selama 30 saat untuk sesi bergambar di podium.

Pemenang pingat diharapkan tidak menyalahgunakan kelonggaran dalam peraturan di temasya itu, yang dikenakan banyak peraturan ketat bagi penularan wabak Covid-19.

"Peluang ini membolehkan atlet yang meraih pingat, selepas semua orang sudah meninggalkan gelanggang, dengan membuka pelitup muka selama 30 saat, bagi tujuan sesi bergambar.

"Saya rasa semua orang boleh menerimanya kerana risiko ini adalah sangat rendah dan kedua mereka sangat memahami situasi berkenaan," kata jurucakap Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Mark Adams.

Atlet diwajibkan untuk memakai pelitup muka kecuali ketika berlatih, bertanding, makan, minum atau tidur, selain melakukan ujian Covid-19 setiap hari.

Ketika berdiri di atas podium, mereka sering diberi arahan untuk membuka pelitup muka bagi memberi ruang kepada jurugambar.

Bagaimanapun, Adams menggesa agar atlet tidak mengambil kesempatan di atas kelonggaran itu dan sentiasa memakai pelitup muka kecuali apabila diarahkan buka.

Setakat ini, 153 orang yang mempunyai kaitan dengan temasya berkenaan diuji positif.

Seramai 85 peratus atlet sudah pun mengambil vaksin berdasarkan laporan IOC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 8:28 PM