KHABIB dan sahabat baiknya, Islam Makhachev.
KHABIB dan sahabat baiknya, Islam Makhachev.
Agensi

London: Khabib Nurmagomedov akan keluar daripada persaraan dengan menentang Rafael dos Anjos jika jaguh Brazil itu menewaskan Islam Makhachev.

Dos Anjos dalam Twitternya berkata : 'Saya mendengar daripada UFC, Islam sedia menentang saya pada 30 Oktober, lima pusingan di Abu Dhabi dan Khabib setuju keluar daripada persaraan untuk menuntut bela kekalahan rakannya itu.''

Islam dianggap juara masa depan dan jaguh dari Dagestan itu adalah sahabat baik Khabib, rakan sepelatih dan juga anak didiknya.

Dia menewaskan Thiago Moises pada Sabtu lalu sekali gus melonjak ke tangga kelima ranking lightweight.

Penganjur sebelum ini dua kali cuba mengaturkan pertarungan Islam dengan Dos Anjos yang kini menduduki ranking ketujuh namun gagal.

Sebelum bersetuju untuk kali ketiga, Dos Anjos berkata dia meletakkan syarat untuk menentang Khabib sebagai salah satu hadiah kemenangan.

Menurut petarung berusia 36 tahun itu, rundingan kini hampir selesai dan dia akan menentang Islam di Fight Island pada Oktober depan.

Sama ada Khabib memberikan lampu hijau kepada Islam belum dapat dipastikan. Jaguh Rusia itu mengumumkan persaraannya pada usia 32 tahun selepas dia menewaskan Justin Gaethje selain menunaikan janji kepada ibunya.

Usaha Dana White untuk memujuk Khabib kembali bertarung turut gagal namun boleh menaruh harapan susulan kenyataan terbaru Dos Anjos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 8:40 PM