PENYERANG Perancis, Andre-Pierre Gignac (dua dari kiri) menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, tetapi pasukannya tewas 1-4 di tangan Mexico pada perlawanan acara bola sepak di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
PENYERANG Perancis, Andre-Pierre Gignac (dua dari kiri) menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, tetapi pasukannya tewas 1-4 di tangan Mexico pada perlawanan acara bola sepak di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Perancis memulakan kempen bola sepak lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan kekecewaan apabila dibelasah Mexico 1-4, manakala Sepanyol seri tanpa jaringan dengan Mesir.

Skuad Perancis yang dibimbing Sylvain Ripoll memburu pingat emas pertama Olimpik sejak pencapaian terbaik itu pada 1984, tetapi tumbang pada babak kedua perlawanan di Stadium Tokyo.

"Sudah tentu kami kecewa dengan keputusan perlawanan dan cara permainan kami," kata Ripoll.

"Kami memerlukan prestasi hebat, tetapi itu tidak berlaku."

Mexico mendahului selepas dua minit menerusi jaringan Alexis Vega, sebelum Sebastian Cordova menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-55.

Kapten berusia 35 tahun, Andre-Pierre Gignac, yang kali terakhir mewakili skuad senior Perancis ketika tewas di final Euro 2016 kepada Portugal, merapatkan jurang menerusi sepakan penalti 21 minit sebelum perlawanan tamat.

Bagaimanapun, hasrat mereka bangkit musnah apabila Uriel Antuna dan Eduardo Aguirre menjaringkan dua lagi gol buat Mexico yang juga juara Olimpik 2012.

Perancis kini berdepan tugas sukar untuk menduduki dua tempat teratas Kumpulan A, menjelang perlawanan dengan Afrika Selatan pada Ahad ini serta Jepun pada 28 Julai.

Sementara itu, Sepanyol yang menurunkan enam pemain daripada skuad layak ke separuh akhir Euro 2020, menguasai permainan, tetapi tidak banyak mencipta peluang ketika menentang Mesir di Sapporo.

Peluang terbaik mereka adalah menerusi pemain tengah Real Madrid, Dani Ceballos yang kini dipinjamkan ke Arsenal, tetapi rembatannya pada babak pertama terkena tiang.

Sepanyol yang menang emas Olimpik di tempat sendiri pada 1992, akan berdepan Australia, tiga hari lagi sebelum menamatkan saingan Kumpulan C menentang Argentina.

New Zealand bermula cemerlang dalam Kumpulan B apabila penyerang Burnley, Chris Wood, menanduk masuk gol kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan pada minit ke-72.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 7:39 PM