Atlet pelayaran negara menjalani latihan di Jepun.
Atlet pelayaran negara menjalani latihan di Jepun.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jangan sia-siakan pengorbanan yang dilakukan selama ini dan inilah masanya untuk atlet membuktikan kewibawaan masing-masing selepas layak beraksi di temasya terbesar dunia Olimpik.

Itu kata-kata semangat yang dilontarkan oleh jurulatih pelayaran negara, Mohd Afendy Abdullah kepada barisan atlet negara pada pagi hari raya Aidiladha di Tokyo sebelum sesi latihan pasukan pelayaran di Enoshima Yacht Harbour bermula.

Afendy turut menyediakan juadah hari raya, lemang dan rendang yang di bawa dari Malaysia untuk dimasak dan dikongsi bersama skuad pelayaran negara agar mereka dapat menikmati suasana perayaan itu biarpun berada di perantauan kerana tugas demi negara.

Biarpun tidak dapat menyambut perayaan Aidiladha bersama keluarga, sekurang-kurang sambutan kecil-kecilan itu dapat mengubat rindu atlet negara kepada keluarga di Malaysia seterusnya menaikkan semangat mereka untuk terus berjuang.

Afendy menyambut Aidiladha di Jepun.
Afendy menyambut Aidiladha di Jepun.

"Inilah erti pengorbanan sebagai atlet. Pengorbanan sempena raya korban dan mereka perlu buat yang terbaik untuk negara kita.

"Semua atlet banyak berkorban. Mereka berkorban masa depan, masa dengan anak-anak dan keluarga, pelajaran dan sebagainya.

"Saya sebagai jurulatih hanya boleh berikan kata-kata semangat untuk mereka berusaha mengejar impian. Capai kejayaan agar pengorbanan mereka semua ini ada nilainya," katanya.

Menurutnya, banyak perbezaan yang dilalui oleh atlet negara pada temasya kali ini kerana pandemik Covid-19.

Biarpun kekurangan itu dirasai apabila tidak dapat bersama-sama rakan seangkatan dari negara lain kerana bimbang akan penularan Covid-19 namun itu tidak menjejaskan fokus atlet.

Kata Afendy, atlet tiada masalah untuk mengikuti semua peraturan yang ketat kerana masing-masing memberi fokus kepada latihan kerana masa yang sangat singkat dan ada yang sibuk dengan komitmen sebagai pelajar.

Acara pelayaran akan bermula pada 25 Julai ini dan tamat pada 4 Ogos dengan barisan skuad negara diketuai oleh atlet berpengalaman Khairul Nizam Afendy (laser), Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial), Nuraisyah Jamil dan Juni Noor Jamali (470 wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 10:18 PM