MCGREGOR ketika diusung keluar semalam. FOTO AFP
MCGREGOR ketika diusung keluar semalam. FOTO AFP
Agensi

Los Angeles: Conor McGregor selamat menjalani pembedahan selama tiga jam selepas kakinya patah ketika tewas kepada Dustin Poirier di UFC 264 semalam.

Pertarungan kali ketiga McGregor dan Poirier terpaksa dihentikan selepas kaki kiri bekas juara dua divisyen itu patah pada penghujung pusingan pertama yang berlangsung di T-Mobile Arena dekat Las Vegas.

McGregor tidak mampu meneruskan pertarungan di pusingan kedua dan Poirier dinobatkan selaku juara dengan keputusan TKO.

McGregor diangkat menggunakan pengusung selepas tamat perlawanan dan kemudian dikejarkan ke hospital di Los Angeles untuk menjalani pembedahan.

Selepas proses pembedahan itu, McGregor memuat naik kenyataan di media sosial dengan menyatakan dia memerlukan tempoh enam minggu untuk kembali pulih.

"Baru keluar dari bilik pembedahan! Pembedahan berjalan lancar! Rasa luar biasa! Berehat enam minggu dan akan kembali semula," katanya.

Pengurus McGregor menerusi kenyataan media berkata: "Conor selamat menjalani pembedahan selama tiga jam.

"Pembedahan itu berjaya memperbaiki patah tulang tibia dan fibula.

"Doktor yang merawatnya termasuklah Dr Neal El Attrache dari Kerlan-Jobbe dan pakar bedah, Dr Milton Little dari Cedars-Sinai.

"Kedua-dua doktor yakin dengan masa yang ada dia akan dapat pulih sepenuhnya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 12:42 PM