MUN Yee (kiri) dan Liu Ying akan beraksi di Olimpik Tokyo. FOTO NSTP
MUN Yee (kiri) dan Liu Ying akan beraksi di Olimpik Tokyo. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kebiasaannya kontinjen negara lebih didominasi atlet lelaki untuk menggalas cabaran Malaysia namun berbeza pula edisi Olimpik Tokyo kali ini apabila seramai 18 daripada 30 atlet ke temasya itu adalah wanita.

Walaupun dilihat menimbulkan keraguan terhadap kemampuan atlet wanita untuk mencipta kejayaan namun sebenarnya rata-rata kaum hawa yang mewakili negara bukanlah calang-calang berikutan ada antara mereka pernah membawa pulang pingat untuk Malaysia pada penyertaan Olimpik lalu.

Mengikut rekod, penyertaan atlet pada Olimpik Rio 2016 menyaksikan seramai 15 daripada 32 atlet adalah wanita yang terpilih untuk menggalas cabaran negara.

Menerusi kenyataan media, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan seramai 13 atlet buat pertama kalinya terpilih untuk mewakili negara ke temasya Olimpik.

"Atlet terjun negara Leong Mun Yee pula mencatat sejarah penyertaan terbanyak bagi atlet wanita di Sukan Olimpik dengan lima penyertaan iaitu Sydney 2000), Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2021.

"Manakala Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang sudah bertanding di empat sukan Olimpik iaitu di Beijing 2008, London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2021.

"Penerjun negara, Pandelela Rinong bertanding di Olimpik sebanyak tiga kali iaitu sejak London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2021.

"Bagi sukan badminton, ini adalah penampilan ketiga untuk pasangan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying di temasya Olimpik iaitu London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2021," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan tahniah kepada atlet yang terpilih untuk menggalas cabaran negara ke Tokyo.

"Ini adalah saat dan detik yang cukup bermakna. Saya tahu atlet kita memberikan komitmen yang cukup tinggi untuk sampai ke tahap ini walaupun dihambat dengan penularan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:27 PM