SHELLY ANN memenangi kejohanan kebangsaan di Jamaica. FOTO Agensi
SHELLY ANN memenangi kejohanan kebangsaan di Jamaica. FOTO Agensi
AFP

Kingston: Juara dunia, Shelly-Ann Fraser-Pryce memenangi acara 100 meter (m) wanita kejohanan kebangsaan di Jamaica dengan catatan 10.71 saat (s) untuk mengesahkan tempatnya di dalam pasukan menjelang Sukan Olimpik Tokyo bulan depan.

Shelly-Ann yang sebelum ini mencatat masa 10.63s, bangkit daripada kekalahan pada aksi separuh akhir kepada juara berganda Olimpik, Elaine Thompson-Herah dengan larian meyakinkan pada aksi final.

Enam daripada lapan pelari pecut wanita berlari di bawah masa 11.00s sepanjang tahun ini.

Ia adalah kemenangan keempat Shelly-Ann dalam acara pecut 100m di kejohanan kebangsaan itu dan keenam secara keseluruhan.

Shericka Jackson yang melakukan catatan peribadi terbaik 10.77s ketika di separuh akhir, meraih tempat kedua dengan catatan 10.82s manakala Elaine Thompson ketiga menerusi catatan 10.84s.

Tyquendo Tracey melakukan kejutan dengan memenangi acara final 100m lelaki dengan catatan 10.00s menewaskan Yohan Blake yang melakukan catatan 10.01s.

Manakala Oblique Seville meraih tempat ketiga dengan catatan peribadi terbaik 10.04s. Tracey pernah memenangi kejohanan kebangsaan pada 2018.

Pemenang Sukan Komanwel dan finalis Kejohanan Dunia serta Olimpik, Janieve Russell pula memenangi acara 400m lari berpagar buat kali ketiga dengan catatan terbaik musim ini 54.07s yang juga keempat terpantas di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 12:12 PM