ORANG ramai melakukan demonstrasi menentang penganjuran Sukan Olimpik Tokyo. FOTO EPA
ORANG ramai melakukan demonstrasi menentang penganjuran Sukan Olimpik Tokyo. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Perdana Menteri Jepun menafikan dakwaan maharaja negara itu bimbang Sukan Olimpik Tokyo mungkin akan menyebabkan peningkatan kes Covid-19 apabila menyatakan komen itu adalah daripada pendapat seorang wakil di Istana.

Semalam, Yasuhiko Nishimura, ketua Agensi Hal Ehwal Imperial yang menguruskan hal ehwal Istana memberitahu wartawan bahawa Maharaja Naruhito sangat bimbang mengenai situasi jangkitan semasa Covid-19, lapor media Jepun.

Nishimura berkata, beliau percaya maharaja bimbang dengan suara kegelisahan di kalangan orang ramai yang mungkin menyebabkan penganjuran Olimpik dan Paralimpik meningkatkan jumlah jangkitan wabak itu.

Dia bagaimanapun mengakui bahawa tidak mendengar aduan kegelisahan daripada maharaja secara berdepan namun percaya maharaja juga merasai perasaan yang sama dengannya, lapor agensi berita Kyoto.

Meskipun maharaja tidak mempunyai kuasa politik, namun beliau adalah simbol penting di Jepun.

Perdana Menteri, Yoshihide Suga berkata, apa yang dinyatakan Nishimura itu adalah pandangan peribadinya sendiri.

Kenyataan Suga itu dibacakan oleh Menteri Olimpik, Tamayo Marukawa dan jurucakap pemerintah tertinggi, Katsunobu Kato.

"Apa yang saya faham apa yang diperkatakannya itu adalah berdasarkan pandangan peribadi kerana kerap bertemu dengan maharaja setiap hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 1:20 PM