Pelumba Mongolia, Sainbayar Jambaljamts.
Pelumba Mongolia, Sainbayar Jambaljamts.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Reputasi dan prestasi cemerlang Terengganu Cycling Team (TSG) yang kini gah mendahului ranking Asia dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mendorong pakar mendaki kelahiran Mongolia, Sainbayar Jambaljamts memilih pasukan itu.

Jambaljamts yang baharu menandatangani kontrak bersama pasukan bertaraf Benua Asia itu menjadi taruhan terbaharu TSG dalam mengharungi baki perlumbaan musim ini termasuk memburu podium dalam enam perlumbaan di Turki bermula 3 Julai depan.

"Status TSG tidak perlu diperkenalkan lagi, saya berbangga menjadi seorang pelumba yang menyarung jersi pasukan dari Malaysia itu dalam perlumbaan UCI.

"Walaupun lebih setahun tidak beraksi, saya yakin mampu memperagakan kayuhan terbaik pada aksi pertama bersama pasukan TSG di Turki nanti," kata Jambaljamts.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus, berkata Jambaljamts, 26, sebelum ini dari pasukan China, RTS Racing Team hadir bagi menggantikan pelumba Colombia, Carlos Quintero, yang bersara daripada arena berbasikal.

Beliau berkata, pelumba yang mengikat kontrak selama enam bulan bersama TSG bermula 1 Jun lalu.

"Setelah kehilangan Quintero, kami perlu menyusun semula barisan pelumba kerana dia (Quintero) seorang pendaki yang banyak membantu pasukan memburu kejayaan sebagaimana aksi di Turki pada Februari lalu.

"Kami yakin dengan kehadiran Jambaljamts kerana pernah melihat kayuhannya dalam beberapa kejohanan Asia dan penyertaannya mampu memperkuatkan pasukan untuk memburu kejayaan.

"Dia bakal membuat penampilan sulungnya bersama pasukan dalam enam siri perlumbaan Grand Prix di Turki nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 11:17 PM