CINDY pernah melalui pengalaman pahit dengan jurulatihnya. FOTO Cindy Ong
CINDY pernah melalui pengalaman pahit dengan jurulatihnya. FOTO Cindy Ong
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: "Saya pernah diganggu secara seksual oleh jurulatih sendiri," kata bekas perenang negara, Cindy Ong yang mahu masalah membelenggu atlet wanita sejak sekian lama ini ditangani secara serius oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Cindy mengakui dia antara mangsa dan hingga kini masih lagi menerima gangguan seksual.

Gambar yang disiarkan di akhbar menjadi kecaman serangan warga netizen yang dengan ayat-ayat lucah dan melampaui batas.

Kata Cindy, bukannya dia seorang tapi dia yakin atlet seperti Pandelela Rinong (terjun), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik) pernah mengalami pengalaman yang sama.

Menceritakan kembali pengalamannya ketika bergelar atlet negara, Cindy berkata, dia pernah mengalami pengalaman pahit dengan jurulatihnya sendiri.

"Saya bukan nak mengheret jurulatih itu ke muka pengadilan sekarang ini tapi saya mahu pihak berwajib memikirkan solusi atau jalan penyelesaian terbaik sekiranya atlet seperti kami berdepan masalah seperti itu.

"Ramai yang mempersoalkan tindakan saya kenapa baru sekarang saya bercakap pasal perkara ini, gangguan seksual yang saya terima ketika zaman remaja saya. Adakah saya ingin mencari publisiti. Menimbulkan kembali perkara ini. Sebenarnya tidak. Dulu kita tidak mempunyai media sosial. Tak ada Facebook tak ada Instagram untuk saya suarakan.

"Malah rasa 'taboo' dan takut itu menghantui diri saya. Ke mana saya ingin suarakan. Sekarang ini dan hingga kini saya akui saya masih lagi diganggu. Saya juga ada anak, saya tak nak anak saya atau atlet muda lain berdepan masalah ini.

"Saya ingin suarakan perkara yang betul. Mahu pihak berwajib bersama-sama memikirkan jalan penyelesaian. Mungkin atlet sekarang ini takut kerana halangan dari persatuan atau ugutan yang mereka terima. Jadi sebagai seorang mangsa saya mahu menegakkan perkara ini," katanya.

Juara dunia yang meraih lima emas dan dua perak dalam kategori Master di Kejohanan Dunia di Korea Selatan dua tahun lalu itu berkata, dia cuma ingin bangkitkan kesedaran umum terutama ketika ini jurulatih yang pernah mengganggu itu masih lagi bergiat aktif sebagai jurulatih kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 10:15 PM