POSTER pertarungan antara Pacquiao dengan Spence. FOTO Twitter Manny Pacquiao
POSTER pertarungan antara Pacquiao dengan Spence. FOTO Twitter Manny Pacquiao
AFP

Los Angeles: Petinju ikon Filipina, Manny Pacquiao berkata dia akan bertemu juara dunia welterweight yang tidak pernah tewas, Errol Spence di Las Vegas, Ogos depan.

Legenda berusia 42 tahun itu akan beraksi buat kali pertama sejak menewaskan Keith Thurman pada Julai 2019 untuk gelaran welterweight WBA.

Petinju mendapat gelaran PacMan itu mendedahkan perancangannya itu menerusi Twitter apabila memuatnaik poster pertarungan itu dengan kapsyen: "Pacquiao bertemu Spence, 21 Ogos 2021, Las Vegas, Nevada."

The Athletic yang memetik kenyataan sumber melaporkan Pacquiao sudah menandatangani kontrak pertarungan itu dan lokasi pertandingan dijangka berlangsung di MGM Grand.

Bagaimanapun Pacquiao memberitahu The Athletic menerusi satu temuramah dari Filipina yang dia mengharapkan perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Allegiant, venue untuk pasukan NFL, Las Vegas Raiders yang mempunyai 70,000 tempat duduk.

Pacquiao yang ketika ini menggalas tugas selaku senator di Filipina berkata, perlawanan itu mungkin yang terakhir untuknya.

Untuk itu, dia mahu pertarungan itu dianjurkan dengan gilang gemilang.

"Saya gemar mencabar lawan hebat," kata juara lapan divisyen itu kepada The Athletic.

Spence, juara WBC dan IBF dengan rekod 27-0, melakar kemenangan mudah ke atas Danny Garcia, Disember tahun lalu, perlawanan pertamanya selepas terbabit dengan kemalangan kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 9:50 AM