Nazifuddin Najib
Nazifuddin Najib
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Nazifuddin Najib akan menjalankan tugas seperti biasa walaupun terpalit dengan isu menerima notis kebankrapan.

Menurut Norza, sejak kelmarin ramai yang bertanyakan kepada beliau mengenai perkara berkenaan, namun setakat ini apa yang boleh disahkan Nazifuddin bakal terus melaksanakan jawatannya di MOM sebagai setiausaha agung.

"Saya pun sudah berbincang dengan Nazifuddin, lagi pun beliau masih lagi mempunyai proses rayuan," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyarankan semua pihak menunggu keputusan proses rayuan itu terlebih dulu.

"Saya suruh beliau fokus kepada Sukan Olimpik Tokyo dan buat masa ini segala tugasannya tidak terjejas.

Kelmarin, Nazifuddin menerima notis kebankrapan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal melunaskan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi Julai lalu.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Nazifuddin berkata, notis berkenaan diserahkan kepada anak guamnya pada 30 April lalu dan pihaknya telah memfailkan afidavit untuk membantah notis kebankrapan itu pada 6 Mei lalu.

Nazifuddin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 9 Ogos ini untuk mendengar rayuannya.

Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar hutang itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun beliau memfailkan rayuan.

Oleh itu, LHDN memfailkan notis kebankrapan terhadap beliau kerana masih gagal membayar jumlah berkenaan sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 6:00 AM